Rabu, 28 Januari 2009

Catatan Pengalaman Seorang Guru 1

PRASEKOLAH SK KUALA TEKAL.
Keperluan pengurus sekolah sebagai pentadbir perlu sentiasa bersedia untuk menerima perubahan atau satu kemudahan yag baru. Di mana saya menimba pengalaman di Sekolah Kebangsaan Kuala Tekal, Temerloh yang baru mendapat kelas prasekolah bermula Januari 2008 . Sepanjang kajian bagi melengkapkan Kursus Kelayakan Kepengetuaan Kebangsaan 2007/2008 ini, saya dapati bagaimana seorang pentadbir perlu membantu memberi maklumat dan panduan kepada guru yang juga baru menempuhi perubahan itu. Saya mengambil langkah mempelajari dan membuat tinjauan di sekolah-sekolah lain mengenai cara pengurusan kelas pra. Hasilnya saya mendapat senarai keperluan yang saya jadikan senarai semak untuk panduan saya dan guru pra tersebut. Ini dapat membantunya lebih fokus kepada perkara-perkara yang perlu dilakukan.
Pengurus sekolah perlu mengenalpasti sumber di dalam dan di luar sekolah dalam memenuhi keperluan yang ketara untuk menangani isu. Saya dapati sekolah ini pada mulaya tidak mempunyai Pembantu Pengurus Murid( PPM ) untuk prasekolah. Saya telah mencadangkan kepada guru besar untuk mengarahkan seorang pekerja am di sekolah ini mengganti tempat PPM buat sementara waktu supaya pengajaran dapat berjalan lancar. Sumber kepakaran dalam pentadbiran yang ada berdekatan juga boleh digunakan untuk membantu dalam pengurusan. Saya telah menggunakan khidmat jurulatih utama pra sekolah juga guru cemerlang di daerah ini untuk membimbing guru-guru di sekolah ini. Kecemerlangan di sekolah lain juga boleh dijadikan pemangkin dalam pengurusan di sekolah di mana kita boleh mencontohi, meniru atau menambahbaikkan cara pengurusan supaya relevan dengan situasi sekolah.

Pengurus sekolah juga perlu menambah pengetahuan semua guru melalui latihan dan bimbingan yang boleh dilaksanakan melalui program perkembangan staf. Pengisian latihan bukan hanya tertumpu kepada bidang dan tugas masing-masing sahaja tetapi kepada semua bidang dalam pendidikan yang boleh digunakan dalam urusan kerja. Program yang saya jalankan mendekatkan dan memberi pendedahan tentang pra sekolah kepada semua guru di mana boleh menambah pengetahuan dalam satu bidang pengurusan . Yang utama bagaimana ia membantu guru-guru boleh menggunakan ilmu pengurusan kelas ini sebagai model pengurusan kelas masing-masing. Pengurus sekolah perlu melaksanakan satu sistem dokumentasi yang lebih teratur, sistematik dan mesra pelanggan dalam berbagai pengurusan yang terdapat dalam pentadbiran termasuk pengurusan pra sekolah. Standard sesuatu pengurusan boleh ditentukan dengan dokumentasi. Segala maklumat, acara atau aktiviti yang tersusun akan memberi kesan ke atas kesinambungan sesuatu program supaya dapat dilaksanakan dengan baik dan memberi data sahih bagi membantu membuat penilaian. Di atas keperluan itu saya laksanakan program pengurusan fail bagi prasekolah ini supaya ia berada di satu standard pengurusan yang baik.

Selain itu, saya dapati sepanjang menjalankan program ini, guru besar mengamalkan gaya kepimpinan bersituasi yang lebih menumpukan kepada kematangan guru-guru. Kematangan guru-guru itu bermaksud kebolehan dan kesediaan guru menerima tugas untuk mencapai matlamat. Sifat kematangan meliputi pengetahuan, kemahiran, kepakaran, keyakinan diri, komitmen, motivasi dan harga diri berhubung dengan sesuatu tugas. Gaya kepimpinan yang dijalankan adalah arahan, yakin, melibatkan diri dan menurunkan tugas.

Guru besar menilai tahap kematangan guru secara perbandingan dengan tugas yang disempurnakan.

Jika seseorang guru mempunyai kepakaran dan mampu menyempurnakan tugas, gaya

kepimpinan yang sesuai adalah menurunkan tugas dan tidak perlu membimbing atau

memberi sokongan.

Guru besar memberi arahan yang mesti dipatuhi dan tunjuk ajar yang mesti diikuti kepada guru yang mempunyai kematangan yang rendah dan kurang mampu menjalankan tugas yang diamanahkan. Gaya tersebut dipanggil arahan.

Guru besar menjalankan kepimpinan melibatkan diri ( menyertai ) kepada guru yang sederhana kematangannya dan sederhana kemampuan dalam menjalankan tugas. Guru besar memberi sedikit bimbingan dan sokongan serta melibatkan diri secara langsung terhadap tugas yang dijalankan.

Guru yang mempunyai sedikit kematangan tetapi mampu menyempurnakan tugas dipimpin dengan gaya kepimpinan meyakinkan. Ini bermakna guru besar memberi keyakinan, galakan dan sokongan sosioemosi dalam menjalankan tugas.


Tiada ulasan:

Mutiara Kata

Sebaik-baik percakapan ialah percakapan yang ringkas dan berfaedah