Selasa, 2 Disember 2008

Ruang Kaunseling

Rohani mempunyai definisi seperti roh, bahagian dalam manusia yang mempunyai daya berfikir, berperasaan dan berkemahuan, jiwa serta semangat. Tidak mungkin ada manusia walau apapun latar belakang agama, budaya dan pemikiran yang tidak bersetuju bahawa ketenangan hati dan ketenteraman jiwa adalah satu perkara paling penting bagi seseorang manusia. Mungkin mereka berbeza daripada segi cara untuk mencapai ketenangan hati, ketenteraman jiwa dan keheningan rohani tetapi mereka tetap bersetuju bahawa ini adala perkara yang penting dalam kehidupan. Rohani memainkan peranan penting dalam mententeramkan hati, menenangkan hidup, mencemerlangkan emosi, menguatkan akal, merealisasikan tindakan dan mematangkan fikiran. Kecemerlangan dan kemantapan jiwa ini yang dipanggil EQ. Jika anda mempunyai EQ yang mantap, biarpun anda dilahirkan buta dan bekerja membanting tulang di sawah bendang tetapi dengan ketenangan jiwa yang dimiliki, anda pasti menghadapi hidup dan segala masalah dengan penuh ketenangan. Keluhuran lahir daripada hati yang tenang.
Keluhuran membawa kepada keagungan, kemuliaan, kebesaran dan kekuatan hati. Punca keluhuran datangnya daripada mata, perasaan, lidah dan perbuatan. Manusia kekadang terlupa mencari keluhuran ini. Selalunya kita menangisi jasad yang telah mati akan tetapi tidak menangisi hati yang telah mati, padahal mati hati lebih menyedihkan daripada mati jasad. Pencarian rumusan keluhuran hati dimulakan dengan bertakwa. Bergaul dengan orang-orang yang soleh, menhadiri majlis-majlis ilmu, memelihara perut daripada makanan yang haram dan terlebih, membaca dan menghayati al-quran. Bermuhasabah diri dan berzikir dalam memperbaiki kelemahan. Marah, nafsu yang tidak dikawal, tamak dan dengki, terlalu kenyang, cintakan harta benda dan wang, kedekut, gopoh-gapah dalam perbuatan, terlalu mengharapkan orang lain melakukan kebaikan dan perasaan pentingkan diri sendiri menjadi halangan keluruhan hati.
Keruntuhan hati berlaku tatkala mengetahui hak Allah tetapi tidak menegak hak itu. Mencintai nabi tetapi tidak melaksanakan sunnahnya. Membaca Al-Quran tetapi mengabaikan suruhannya. Manusia takut mati tetapi tidak bersedia mempersiapkan diri menghadapinya kerana kematian itu adalah pasti. Mengetahui syaitan itu musuh tetapi masih ghairah mengikut telunjuknya dan percayakan neraka tetapi melakukan maksiat. Mahukan syurga tetapi tidak beramal soleh serta yang selalu dilakukan lupakan kekurangan diri tetapi menyerlahkan kekurangan orang lain.

Sejarah Keluarga

Keluargaku adalah sebahagian daripada rumpun keturunan Syed Alawiyyin yang berada di rantau Asia Tenggara. Mereka ini terkenal sebagai pendakwah yang berasal keturunan dari Hadramaut. Keluargaku tiba di Alam Melayu sejak abad ke 10 Hijrah atau ke 16 Masihi dan sampai ke Pahang pada abad ke 19 dan awal ke 20 Masihi. Keluargaku bernasab Al-Yahya atau Benyahya yang asalnya dari keturunan Syed Yasin di Terengganu. Beliau dikurniakan lapan cahayamata. Anakanda yang bernama Syed Abd Rahman telah berhijrah ke Pahang pada tahun 1250M ( zaman Bendahara Tun Ali) yang bermaustatin di Pekan. Kemudian berkahwin dan beliau mempunyai lima anak lelaki iaitu Abdullah, Hamid, Abu Bakar, Yusuf dan Taha. Salasilah keluargaku di Kampung Kuala Tekal, Temerloh bermula dengan Syed Abu Bakar Syed Abdul Rahman Al Yahya.

Ayahku Syed Alwi bin Qassim bin Aqil bin Abu Bakar bin Abdul Rahman menetap di Kampung Kuala Tekal. Sewaktu kecil dibesarkan oleh ibunya bernama Maimunah di Kampung Chengal Temerloh dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Tanjung Lalang sehingga darjah lima. Kemudiannya menetap di Kuala Tekal. Berkahwin dan mempunyai 16 orang anak dan enam daripadanya meninggal sewaktu masih kecil

Mutiara Kata

Sebaik-baik percakapan ialah percakapan yang ringkas dan berfaedah