Khamis, 29 Januari 2009

Catatan Pengalaman Seorang Guru 2

Keperluan Kursus Dalaman Pengurusan Panitia ( Pengurusan Strategik )

SK Kuala Tekal, Temerloh, Pahang.

Sepanjang membuat kajian didapati

Seorang pengurus sekolah memainkan peranan sebagai pemimpin kurikulum perlu menetapkan hal tuju sekolah, menerajui pelaksanaan perubahan dan inovasi kurikulum ke arah kecemerlangan. Hala tuju pentadbiran sekolah perlu dihayati oleh setiap panitia supaya hasrat sebenar sekolah tercapai. Bagi memastikan setiap aktiviti atau program yang dijalankan bermutu dan membuahkan hasil, saya dapati pengurus sekolah harus melibatkan diri dalam pelaksanaan program tersebut. Setiap program dipastikan mempunyai objektif yang jelas.

Pengurus sekolah mesti memastikan panitia mengetahui setiap isu yang perlu diatasi seterusnya menetapkan target atau matlamat. Daripada kajian isu dan matlamat, panitia dikehendaki merancang langkah-langkah atau strategi untuk mengatasinya.

Sebagai guru besar, saya dapati bagaimana mereka perlunya memberi galakan kepada guru-guru mengkaji kaedah baru untuk memperbaiki pengajaran. Kesempatan dan kemudahan untuk guru-guru itu disediakan dengan cara perbincangan dengan pakar, mendapatkan maklumat, data dan nasihat yang relevan sebagaimana kursus yang saya laksanakan.

Suasana keadaaan pembelajaran di sekolah haruslah kondusif, selesa dan menarik perhatian pelajar. Sebagai pengurus sekolah, saya pelajari bagaimana guru besar dan ketua panitia menetapkan garis panduan yang harus dipatuhi oleh guru-guru dalam melahirkan pengurusan kelas yang baik. Pengurus sekolah bersama panitia perlu memikul tanggungjawab memillih dan memperolehi bahan pengajaran yang sesuai dalam pengajaran dan pembelajaran

Dalam pengurusan kurikulum seterusnya panitia, saya menambah pengetahuan bagaimana pengurus sekolah dapat memperolehi prestasi kerja kumpulan yang memuaskan jika pekerja diberitahu apa yang perlu dilakukan untuk mendapatkan ganjaran selaras dengan prestasi cemerlang. Sekolah ini merupakan calon Anugerah Sekolah Cemerlang pada tahun ini dan guru besar sering memotivasikan guru dan pelajar untuk memenangi anugerah tersebut. Mereka sebelum ini menikmati ganjaran setelah ditabalkan menerima Anugerah Sekolah Lonjakan Saujana 2007 atas pencapaian 100% UPSR 2007 yang lalu.

Dalam mencari fokus kecemerlangan akademik sekolah telah mewujudkan sudut pameran tetap anugerah-anugerah yang diterima dan secara berpindah semasa majlis bersama komuniti diadakan di sekolah untuk tatapan guru, pelajar dan pengunjung sekolah. Guru besar mempengaruhi guru terhadap matlamat kerja dan matlamat peribadi dengan mengubah tingkahlakunya bersesuaian dengan situasi. Ini bermakna beliau bertindak seolah-olah membantu guru mencapai kepuasan bekerja melalui prestasi cekap dan memuaskan. Apabila berdepan dengan struktur kerja sukar, saya mempelajari bagaiamana cara membimbing guru memberi laluan yang jelas bagi mengatasi masalah.

Pengurusan panitia merupakan kerja berpasukan. Kerja pasukan memperlihatkan guru yang berbagai ragam dan masalah dan mempunyai keperluan –keperluan yang berbeza. Bagi mengatasi masalah kerja yang berbeza, gaya kepimpinan yang paling efektif bergantung kepada sikap dan situasi kerja.

Guru besar menjadi pemimpin yang memberi arahan tertentu di dalam pelaksanaan sesuatu kerja. Guru lain tidak terlibat di dalam membuat keputusan. Ia dipanggil kepimpinan mengarah

( directive ) atau autokratik. Misalnya apabila berdepan dengan masalah yang melibatkan perundangan atau tatatertib.

Seterusnya guru besar sebagai pemimpin perlu bersifat mesra, ramah dan mudah ditemui untuk membincang sesuatu dan mengambil kira hal ehwal guru. Ini dipanggil kepimpinan menyokong. Ini selalunya berlaku apabila menjalankan penyeliaan ke atas pengajaran dan pembelajaran atau semasa membimbing guru.

Selanjutnya, kepimpinan partisipatif menjelaskan guru besar memberi ruang kepada guru untuk mengeluarkan pendapat dan memberi cadangan mengenai sesuatu perkara yang berkaitan dengan kerja. Walau begitu, pada akhirnya pemimpin akan merumuskan dan membuat keputusan yang muktamad. Ia berlaku apabila membantu dalam pemilihan bahan bantu mengajar atau bahan rujukan guru.

Guru besar membentuk matlamat yang mencabar dan menunjukkan rasa yakin kepada kebolehan guru untuk menyempurnakannya. Dengan itu, guru berpuas hati dengan usahanya dan ini meningkatkan produktiviti. Ini berlaku semasa membantu dalam membuat kajian dalam mengenalpasti masalah kelemahan murid seterusnya merancang program yang sesuai untuk mengatasinya.

Rabu, 28 Januari 2009

Catatan Pengalaman Seorang Guru 1

PRASEKOLAH SK KUALA TEKAL.
Keperluan pengurus sekolah sebagai pentadbir perlu sentiasa bersedia untuk menerima perubahan atau satu kemudahan yag baru. Di mana saya menimba pengalaman di Sekolah Kebangsaan Kuala Tekal, Temerloh yang baru mendapat kelas prasekolah bermula Januari 2008 . Sepanjang kajian bagi melengkapkan Kursus Kelayakan Kepengetuaan Kebangsaan 2007/2008 ini, saya dapati bagaimana seorang pentadbir perlu membantu memberi maklumat dan panduan kepada guru yang juga baru menempuhi perubahan itu. Saya mengambil langkah mempelajari dan membuat tinjauan di sekolah-sekolah lain mengenai cara pengurusan kelas pra. Hasilnya saya mendapat senarai keperluan yang saya jadikan senarai semak untuk panduan saya dan guru pra tersebut. Ini dapat membantunya lebih fokus kepada perkara-perkara yang perlu dilakukan.
Pengurus sekolah perlu mengenalpasti sumber di dalam dan di luar sekolah dalam memenuhi keperluan yang ketara untuk menangani isu. Saya dapati sekolah ini pada mulaya tidak mempunyai Pembantu Pengurus Murid( PPM ) untuk prasekolah. Saya telah mencadangkan kepada guru besar untuk mengarahkan seorang pekerja am di sekolah ini mengganti tempat PPM buat sementara waktu supaya pengajaran dapat berjalan lancar. Sumber kepakaran dalam pentadbiran yang ada berdekatan juga boleh digunakan untuk membantu dalam pengurusan. Saya telah menggunakan khidmat jurulatih utama pra sekolah juga guru cemerlang di daerah ini untuk membimbing guru-guru di sekolah ini. Kecemerlangan di sekolah lain juga boleh dijadikan pemangkin dalam pengurusan di sekolah di mana kita boleh mencontohi, meniru atau menambahbaikkan cara pengurusan supaya relevan dengan situasi sekolah.

Pengurus sekolah juga perlu menambah pengetahuan semua guru melalui latihan dan bimbingan yang boleh dilaksanakan melalui program perkembangan staf. Pengisian latihan bukan hanya tertumpu kepada bidang dan tugas masing-masing sahaja tetapi kepada semua bidang dalam pendidikan yang boleh digunakan dalam urusan kerja. Program yang saya jalankan mendekatkan dan memberi pendedahan tentang pra sekolah kepada semua guru di mana boleh menambah pengetahuan dalam satu bidang pengurusan . Yang utama bagaimana ia membantu guru-guru boleh menggunakan ilmu pengurusan kelas ini sebagai model pengurusan kelas masing-masing. Pengurus sekolah perlu melaksanakan satu sistem dokumentasi yang lebih teratur, sistematik dan mesra pelanggan dalam berbagai pengurusan yang terdapat dalam pentadbiran termasuk pengurusan pra sekolah. Standard sesuatu pengurusan boleh ditentukan dengan dokumentasi. Segala maklumat, acara atau aktiviti yang tersusun akan memberi kesan ke atas kesinambungan sesuatu program supaya dapat dilaksanakan dengan baik dan memberi data sahih bagi membantu membuat penilaian. Di atas keperluan itu saya laksanakan program pengurusan fail bagi prasekolah ini supaya ia berada di satu standard pengurusan yang baik.

Selain itu, saya dapati sepanjang menjalankan program ini, guru besar mengamalkan gaya kepimpinan bersituasi yang lebih menumpukan kepada kematangan guru-guru. Kematangan guru-guru itu bermaksud kebolehan dan kesediaan guru menerima tugas untuk mencapai matlamat. Sifat kematangan meliputi pengetahuan, kemahiran, kepakaran, keyakinan diri, komitmen, motivasi dan harga diri berhubung dengan sesuatu tugas. Gaya kepimpinan yang dijalankan adalah arahan, yakin, melibatkan diri dan menurunkan tugas.

Guru besar menilai tahap kematangan guru secara perbandingan dengan tugas yang disempurnakan.

Jika seseorang guru mempunyai kepakaran dan mampu menyempurnakan tugas, gaya

kepimpinan yang sesuai adalah menurunkan tugas dan tidak perlu membimbing atau

memberi sokongan.

Guru besar memberi arahan yang mesti dipatuhi dan tunjuk ajar yang mesti diikuti kepada guru yang mempunyai kematangan yang rendah dan kurang mampu menjalankan tugas yang diamanahkan. Gaya tersebut dipanggil arahan.

Guru besar menjalankan kepimpinan melibatkan diri ( menyertai ) kepada guru yang sederhana kematangannya dan sederhana kemampuan dalam menjalankan tugas. Guru besar memberi sedikit bimbingan dan sokongan serta melibatkan diri secara langsung terhadap tugas yang dijalankan.

Guru yang mempunyai sedikit kematangan tetapi mampu menyempurnakan tugas dipimpin dengan gaya kepimpinan meyakinkan. Ini bermakna guru besar memberi keyakinan, galakan dan sokongan sosioemosi dalam menjalankan tugas.


Selasa, 2 Disember 2008

Ruang Kaunseling

Rohani mempunyai definisi seperti roh, bahagian dalam manusia yang mempunyai daya berfikir, berperasaan dan berkemahuan, jiwa serta semangat. Tidak mungkin ada manusia walau apapun latar belakang agama, budaya dan pemikiran yang tidak bersetuju bahawa ketenangan hati dan ketenteraman jiwa adalah satu perkara paling penting bagi seseorang manusia. Mungkin mereka berbeza daripada segi cara untuk mencapai ketenangan hati, ketenteraman jiwa dan keheningan rohani tetapi mereka tetap bersetuju bahawa ini adala perkara yang penting dalam kehidupan. Rohani memainkan peranan penting dalam mententeramkan hati, menenangkan hidup, mencemerlangkan emosi, menguatkan akal, merealisasikan tindakan dan mematangkan fikiran. Kecemerlangan dan kemantapan jiwa ini yang dipanggil EQ. Jika anda mempunyai EQ yang mantap, biarpun anda dilahirkan buta dan bekerja membanting tulang di sawah bendang tetapi dengan ketenangan jiwa yang dimiliki, anda pasti menghadapi hidup dan segala masalah dengan penuh ketenangan. Keluhuran lahir daripada hati yang tenang.
Keluhuran membawa kepada keagungan, kemuliaan, kebesaran dan kekuatan hati. Punca keluhuran datangnya daripada mata, perasaan, lidah dan perbuatan. Manusia kekadang terlupa mencari keluhuran ini. Selalunya kita menangisi jasad yang telah mati akan tetapi tidak menangisi hati yang telah mati, padahal mati hati lebih menyedihkan daripada mati jasad. Pencarian rumusan keluhuran hati dimulakan dengan bertakwa. Bergaul dengan orang-orang yang soleh, menhadiri majlis-majlis ilmu, memelihara perut daripada makanan yang haram dan terlebih, membaca dan menghayati al-quran. Bermuhasabah diri dan berzikir dalam memperbaiki kelemahan. Marah, nafsu yang tidak dikawal, tamak dan dengki, terlalu kenyang, cintakan harta benda dan wang, kedekut, gopoh-gapah dalam perbuatan, terlalu mengharapkan orang lain melakukan kebaikan dan perasaan pentingkan diri sendiri menjadi halangan keluruhan hati.
Keruntuhan hati berlaku tatkala mengetahui hak Allah tetapi tidak menegak hak itu. Mencintai nabi tetapi tidak melaksanakan sunnahnya. Membaca Al-Quran tetapi mengabaikan suruhannya. Manusia takut mati tetapi tidak bersedia mempersiapkan diri menghadapinya kerana kematian itu adalah pasti. Mengetahui syaitan itu musuh tetapi masih ghairah mengikut telunjuknya dan percayakan neraka tetapi melakukan maksiat. Mahukan syurga tetapi tidak beramal soleh serta yang selalu dilakukan lupakan kekurangan diri tetapi menyerlahkan kekurangan orang lain.

Sejarah Keluarga

Keluargaku adalah sebahagian daripada rumpun keturunan Syed Alawiyyin yang berada di rantau Asia Tenggara. Mereka ini terkenal sebagai pendakwah yang berasal keturunan dari Hadramaut. Keluargaku tiba di Alam Melayu sejak abad ke 10 Hijrah atau ke 16 Masihi dan sampai ke Pahang pada abad ke 19 dan awal ke 20 Masihi. Keluargaku bernasab Al-Yahya atau Benyahya yang asalnya dari keturunan Syed Yasin di Terengganu. Beliau dikurniakan lapan cahayamata. Anakanda yang bernama Syed Abd Rahman telah berhijrah ke Pahang pada tahun 1250M ( zaman Bendahara Tun Ali) yang bermaustatin di Pekan. Kemudian berkahwin dan beliau mempunyai lima anak lelaki iaitu Abdullah, Hamid, Abu Bakar, Yusuf dan Taha. Salasilah keluargaku di Kampung Kuala Tekal, Temerloh bermula dengan Syed Abu Bakar Syed Abdul Rahman Al Yahya.

Ayahku Syed Alwi bin Qassim bin Aqil bin Abu Bakar bin Abdul Rahman menetap di Kampung Kuala Tekal. Sewaktu kecil dibesarkan oleh ibunya bernama Maimunah di Kampung Chengal Temerloh dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Tanjung Lalang sehingga darjah lima. Kemudiannya menetap di Kuala Tekal. Berkahwin dan mempunyai 16 orang anak dan enam daripadanya meninggal sewaktu masih kecil

Mutiara Kata

Sebaik-baik percakapan ialah percakapan yang ringkas dan berfaedah